Wednesday, February 25, 2009

Serpihan Tulang Berbau Wangi


GAZA Faris Hamdan Mahmud,67, bersama anak saudaranya, Al Rafah Saiedi,6, merasa pilu dan sedih akibat kemusnahan rumahnya serta kematian kaum kerabatnya di Kampungnya, Zaitun Selatan di Gaza City, Palestin. Gambar Tun Izhar Tun Ishak. 23/1/2009

Hari ini saya terbaca satu berita di akhbar metro (26 Februari 2009) yang menceritakan pengalaman seorang jurufoto The New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Tun Izhar Tun Ishak yang berkesempatan membuat liputan secara dekat untuk melihat penderitaan rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini. Antaranya yang menyentuh hati saya ialah pengalaman beliau menyaksikan sendiri serpihan daging dan tulang rakyat Palestin yang terlekat di dinding bangunan akibat dibom tentera rejim Zionis yang mana menjadi detik paling sukar dilupakan dalam hidupnya.

Antaranya dia bercerita :

“Mulanya ngeri juga melihat daging dan tulang yang sengaja tidak dicuci penduduk tempatan. Bagaimanapun, perasaan saya bertukar daripada ngeri menjadi terharu sebaik melihat dari dekat mayat terbabit.

“Ajaibnya, tulang yang terlekat itu langsung tidak berbau busuk, malah mengeluarkan bau wangi. Mungkin mereka ini termasuk golongan syahid yang dijanjikan syurga.

Ketika membaca berita ini tiba-tiba terlintas di fikiran saya kepada salah satu ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah 153 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

Mungkin inilah janji Allah kepada hamba-hambanya yang syahid berjuang menegakkan agama-NYA. Ramai orang menyangka bahawa rakyat palestin yang mati begitu sahaja, sedangkan mereka sebenarnya sedang menikmati kenikmatan syurga yang telah dijanjikan Allah kepada mereka. Hal ini kerana mereka yakin dengan janji Allah yang disebutkan di dalam kitab yang mulia iaitu :

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.

(Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.


Marilah kita bersama mendoakan agar Allah menolong para mujahidin dan mustadafin di Palestin. Mudah-mudahan roh jihad para mujahidin turut sama dirasai oleh kita semua. Takbir !

Segerakan kebaikan dan laksanakan kewajipan !

Saya tertarik untuk mengulas mengenai sebuah pesawat Turkish Airlines membawa 135 penumpang terhempas ketika cuba mendarat dalam keadaan cuaca berkabus di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam pada 25 Februari 2009 yang lalu, yang mana telah menyebabkan sembilan terbunuh.

Sebenarnya kematian yang mengejutkan berlaku lebih banyak pada masa ini jika hendak dibandingkan dengan masa-masa yang lampau. Sekalipun kemajuan perubatan dan keilmuan kian meningkat maju, namun perubatan tidak dapat menghalang seorang penyakit lemah jantung dan sesakan paru-paru dan menemui ajalnya. Kemajuan perkembangan sains dan teknologi tidak berupaya untuk mengelak manusia dan berlaku kemalangan ngeri yang membawa maut.

Kesinambungan dari tragedi ini mengingatkan saya tentang suatu penyakit yang berbahaya yang menjangkiti orang-orang Islam hari ini dan membantutkan usaha manusia hari ini dan hari-hari yang berikutnya iaitulah penyakit tangguh menangguh.

Nanti Dulu

Perkataan ini sering terpacul keluar dari mulut manusia sehinggakan ianya menjadi kebiasaan bagi mereka. Sebab itu mereka berlengah dan leka hingga sampai keesokan harinya. Persoalannya adakah mereka akan terus hidup sampai hari esok sedangkan hari yang berlalu tidak mungkin akan kembali.


Bagi pejuang-pejuang agama Allah , sudah pasti penyakit ini amat bermudarat kerana ia boleh membantutkan kemenangan Islam dan jika ia dibiarkan berterusan memungkinkan mereka menjadi kemuncup dalam perjuangan yang Islam. Jikapun dilanjutkan usia ke besok harinya, maka apakah akan terselamat dari penyakit yang datang mendadak, kesibukan yang tiba-tiba, atau terselamat dan malang yang tidak berbau?

Oleh itu marilah kita sama-sama berazam untuk menyegerakan kebaikan dan melaksanakan kewajipan serta merancang strategi. Sifat tangguh-menangguh sehingga habis peluang keemasan adalah sikap yang paling lemah! Saya tinggalkan kata-kata dari Al-Imam Al-Hassan Al-Basri yang menyebut :

Awas dari bertangguh-tangguh! Hari esok belum tentu ! Jika besok harimu, jadilah besok seperti hari ini. Jika besok bukan harimu, usah menyesal kerana kecuaianmu di hari ini!



Monday, February 23, 2009

Ilmu Perubatan Perosak Aqidah


Terlebih dahulu saya bermohon beribu kemaafan kerana lama meninggalkan saudara tanpa mengemaskini halaman ini. Situasi semasa memerlukan saya menumpukan sepenuh masa menguruskan beberapa urusan yang memerlukan masa yang mewah untuk membuat perancangan yang teliti dalam menguruskan organisasi dan kerana itulah asbab kepada kasih sayang Allah iaitu :

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.

Untuk post kali ini saya mahu mengajak sahabat-sahabat sekalian memerhatikan surat khabar Metro 23 Februari 2009 yang menyiarkan berita mengenai sebuah laman web “ilmu pengasih” yang mana menawarkan bayaran RM30 bagi sesiapa saja yang mahu mempelajari ilmu perangsang, membangkit berahi wanita, menghilangkan diri, pelaris, membuat minyak pengasih, penunduk, tarik duit, cinta berahi dan memikat suami. Lebih teruk lagi laman web ini juga mencampur adukkan ayat suci al-Quran dengan pelbagai mentera yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam.

Sebenarnya laman web seperti ini semakin hari semakin bertambah dan kita bimbang suatu hari nanti amalan-amalan khurafat seperti ini menjadi amalan sebahagian umat Islam yang kurang fahaman agama khasnya golongan muda yang masih mentah serta kadang-kadang terlalu ghairah mempelajari ilmu seperti itu.

Aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan Islam ini turut sama boleh menjerumuskan pengamalnya kepada pencemaran aqidah. Seorang Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, ketika diminta mengulas kewujudan laman web mungkar itu, berkata :

1. 1. Teknik pembelajaran sedemikian tidak digalakkan agama berikutan boleh mengakibatkan akidah umat Islam disongsangkan. 2. Doa daripada ayat suci al-Quran serta mentera yang diragui maksudnya boleh menyesatkan umat Islam. 3. Ia dicurigai menyeru makhluk lain, jika diamalkan tanpa meminta nasihat daripada pakar agama.

Keadaan ini sebenarnya lebih merisaukan dan dicurigai kerana mengikut hadis Rasulullah, teknik pembelajaran tanpa berguru boleh diibarat seperti berguru dengan syaitan.

Sheikh Muhammad Haddad juga pernah menyebut bahawa :

من يأحذ العلم عن شيخ مشافهة يكن عن الزيغ والتصحيف في حرم
ومن يكن ءاخذ للعلم من صحف فعلمه عند أهل العلم كالعدم

محمد الحداد

“ Sesiapa yang mengambil ilmu dari seseorang secara musyafahah maka tiada kesangsian baginya dan jauh dari kesilapan, dan siapa yang mengambil ilmu dari buku-buku maka ibarat tiada ilmu disisi para ahli ilmu”.

Sebenarnya bagi mereka yang benar-benar ingin mendalami ilmu agama mereka boleh berguru kepada guru agama yang mursyid serta mahir dalam bidang ini serta mempunyai kelulusan yang diiktiraf. Hal adalah supaya kesilapan atau sebarang perkara tidak jelas boleh dirujuk terus pada guru masing-masing.

Kepada mereka yang berminat untuk mempelajari ilmu perubatan al-Quran atau menerima perubatan bolehlah terus merujuk kepada :

http://www.darussyifa.org/

Iaitu sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan rawatan, pengetahuan asas rawatan, kemusykilan dan soal jawab agama. Darussyifa' hanya menggunakan dengan cara yang teratur dan tersusun ayat-ayat al-Quran, amalan sunnah Rasulullah dan kaedah-kaedah lain yang selaras dengan syarak dalam tujuan mencari ikhtiar untuk merawat pesakit sama ada sakit fizikal atau spiritual.

Rawatan yang diamalkan oleh Darussyifa' ini tidak boleh dimasukkan dalam kategori perubatan Melayu tradisional kerana rangkaian al-Quran yang dibaca itu jelas ayat-ayatnya, hadis-hadis dan sunnah Rasulullah itu nyata sumbernya manakala doa-doa yang dipohon juga jelas maksud dan susunan katanya. Sekadar itu perkongsian dengan sahabat-sahabat semua.

“Teruskan Perjuangan Memperkasakan Tarbiah, Menegakkan Haq Dan Membanteras Kebatilan”.

Samudera Kehidupan


Mengharungi Samudera Kehidupan,

Kita Ibarat Para Pengembara,

Hidup Ini Adalah Perjuangan,

Tiada Masa Untuk Berpaku Tangan,


Setiap Titis Peluh Dan Darah,

Tak Akan Sirna Ditelan Masa,

Segores Luka Dijalan Allah,

Kan Menjadi Saksi Pengorbanan,


Allahu Ghayatuna,

Ar-Rasul Qudwatuna,

Al-Quran Dusturuna,

Al-Jihad Sabiluna,

Al-Mautu Fi Sabilillah,

Asma Amalina.


Allah Adalah Tujuan Kami,

Rasul Allah Tujuan Kami,

Al-Quran Pedoman Hidup Kami,

Jihad Adalah Jalan Juang Kami,

Mati Di Jalan Allah Adalah,

Cita-Cita Kami Tertinggi.

 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.