Friday, July 29, 2011

TARBIAH RAMADHAN HARAKI



Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sunday, October 24, 2010

Islamic Fashion Festival Hina Islam



 KUALA LUMPUR, 22 Okt: Bahagian Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius penganjuran Islamic Fashion Festival atau Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang gagal memenuhi serta mematuhi kehendak syariah serta konsep aurat yang digariskan di dalam Islam.

Helwa Abim berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital sekiranya masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam

“Jesteru, Helwa Abim merasa sangat kecewa dan terkilan dengan inteprestasi fesyen Islam yang gagal difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya,” ujar Naib Presiden Helwa Abim, Fadhlina Siddiq dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malah, katanya apa yang dipotretkan kepada masyrakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival itu nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas.




Tegasnya menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam yang hadir dengan esensi murni yang signifikan untuk memelihara kehormatan, maruah dan melambangkan akhlaq seorang wanita Islam.

Tambahnya, ianya bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.

“Bahkan ia juga bukan interprestasi bahawa inilah pakaian Islam yang sebenar mengikut pandangan peribadi sesiapapun,” ujarnya.

Begitu juga dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya.





Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah penaung festival tersebut. Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim itu yang jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pastinya pemikiran sempit itu semakin mencelarukan fahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran.

Katanya, perkataan “Muhammad” dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat adalah suatu penghinaan yang amat jijik dilemparkan kepada Islam.

Sunday, April 4, 2010

Memburu Makrifatullah Dalam Hembusan Nafas.



Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. [Al-Baqarah: 269]

Najmi yang sedang menjamu selera di kedai makan “KUNING”  bertanya kepada Arif.
“Arif, apa pendapat engkau kalau ada seseorang beri engkau hadiah?
“ Siapa pula yang minat kat aku ni”. Beliau menjawab sambil tersenyum.
“Betul, tanya ikhlas ni”. tambah Najmi lagi.
“Tentulah ada sesuatu yang menggerakkannya untuk memberi hadiah kepada aku”. jawab Arif mudah.

Apakah jawapan sebenarnya yang mahu Najmi cungkil daripada Arif?
Sesungguhnya dalam setiap kerlipan mata dan setiap nafas yang kita hembuskan  itu senantiasa ia menanti-nanti dan bersedia untuk menerima ma’rifat daripada Allah S.W.T.
Perumpamaan mudah, apabila seorang kawan memberi hadiah kepada kita. Cubalah kita buka pandangan mata hati kita ?
Pada saat itu bahawa Allah S.W.T lah yang sebenarnya menganugerahkan hadiah itu.
Pandangan kita akan melihat bagaimana Allah S.W.T mengurniakan nikmat itu melalui pentadbirannya dengan menghantar kawan kita sebagai pembawa hadiah darinya.

Apabila menyedari bahawa Allah S.W.T yang mengurniakan nikmat tersebut maka terbukalah kepada kita akan hakikat ketuhanan. Maka terzahirlah pada diri kita Tauhid Rububiyah melalui perkara di atas. Maka keadaan ini bererti kita itu telah mempunyai makrifat.

Bagaimana kehidupan orang yang mempunyai makrifat?

Orang yang mempunyai makrifat, kehidupan hariannya sentiasa tetap dengan ibadat dengan perhatiannya menilik kepada Allah S.W.T dalam setiap kelakuan makhluk.
Oleh itu sedarlah bahawa setiap kerlipan mata dan nafas yang dihembuskan itu dijadikan Allah S.W.T kepada manusia  untuk beribadah kepadanya dan tidak sekali-kali dipergunakan untuk membuat maksiat kepada Allah S.W.T.



Monday, February 22, 2010

KEPADA HAWA YANG BERKENAAN


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH DAN MAHA PENYAYANG……..

Assalamualaikum HAWA..

Semoga sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH S.W.T selalu. Tujuan utama surat ini ditulis adalah untuk memberi sedikit nasihat dan peringatan kepada saudari HAWA. Ini bukan bermakna ana tidak membuat kesalahan dan kesilapan. Sudah menjadi fitrah manusia untuk membuat kesalahan, dan turut menjadi fitrah manusia untuk insaf dan bertaubat di atas semua kesalahan yang telah dilakukan. Sebagai manusia yang dhaif, saya terpanggil untuk memberi sedikit peringatan kepada saudari, supaya saudari tidak pergi lebih ‘jauh’ dari batas-batas syarak.

            Terlebih dahulu ana ingin memohon maaf andai kandungan surat ini akan menyentuh perasaan saudari. Ana hanya ingin menunaikan tanggungjawab ana sebagai seorang muslim dan tidak mahu turut menanggung dosa-dosa yang saudari lakukan dengan membutakan mata dan hati di atas segala perbuatan saudari.Mungkin sahabat-sahabat HAWA tidak pernah meneguri HAWA dan kiranya menjadi tanggungjawab ana untuk menegur sesuatu yang tidak betul pada pandangan masyarakat sekeliling kita. Pertama HAWA, tolonglah menjaga peribadi sebagai seorang muslimah, tidak kira dari segi pemakaian atau dari segi tingkah laku dan adab. Dari segi pemakaian, tolonglah HAWA pakailah pakaian yang longgar dan labuh. Labuhkan tudung hingga ke dada. Tutuplah segala anugerah yang Tuhan berikan kepada kaum Hawa. Sesungguhnya perhiasan-perhiasan pada tubuh kita ini hanya untuk lelaki yang sah,iaitu suami kita kelak. Tidak perlu dipertontonkan untuk semua HAWA. Hadis Rasullullah S,A.W, “sesungguhnya perempuan yang memperkenalkan dirinya kepada orang lain bersolek dan berhias supaya kecantikkannya dilihat laki-laki yang bukan muhrimnya akan memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kelak.”

            Kedua HAWA, berkaitan dengan pergaulan atau pun ikhtilat. HAWA… tiada sesiapa pun yang menghalang hubungan HAWA dengan dengan mana-mana lelaki atau sesiapa sahaja. Kerana kami tahu itu adalah fitrah manusia, mahu disayangi dan menyayangi. Tapi HAWA, setiap perkara harus ada batasnya. Perhubungan antara laki-laki dengan perempuan juga harus ada batasnya. Sebagai muslimah yang sejati HAWA harus tahu menjaga batas-batas perhubungan. Maksud ana, kita tidak perlu selalu berjumpa atau keluar berdua-dua untuk membuktikan kita berkasih sayang. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan." ( HR.Ahmad) Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (QS. Al Isra:32).

            Ana berharap bahawa ana adalah orang yang pertama dan terakhir menegur HAWA dengan cara sebegini. Bukan niat untuk membuka pekung di dada HAWA tetapi tujuan ana adalah demi kebaikan muslimah sejati yang ana kasihi. Ana berharap agar HAWA tidak mengambil hati dengan apa yang telah dibangkitkan dalam warkah ini. Ana tidak mengharapkan nama untuk membuktikan ana adalah seorang yang baik,tetapi yang ana mahukan adalah hijrah perubahan diri,terutama kaum Hawa.Sesungguhnya, yang baik itu datang dari Allah S.W.T dan yang buruk dan kelemahan itu datang dari ana sendiri…
Akhir kalam, ana sentiasa mendoakan kesejahteraan HAWA serta diri kita semua….Amin….

Wassalam….





Thursday, February 4, 2010

Mulakan Segala Pekerjaan Dengan Basmalah



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ  

Di dalam al-Quran terdapat 114 surah. Semua surah dimulakan dengan lafaz basmalah kecuali surah at-Taubah. Hal ini menunjukkan bahawa tiap-tiap surah itu merupakan pemberian rahmat daripada Tuhan yang bersifat RAHMAN (pemberi rahmat) dan bersifat RAHIM ( sifat penyantun ). 


Sebenarnya keadaan ini menunjukkan bahawa Allah menyuruh kita memulai segala pekerjaan kita yang baik dengan membaca lafaz basmalah supaya pekerjaan kita itu sempurna dan diberkati.


Beberapa hadith menunjukkan bahawa tiap-tiap pekerjaan yang tidak dimulai dengan basmalah tidak akan sempuna kecuali jika ketika melakukan pekerjaan yang hina seperti istinja' dan menyapu sampah dan sebagainya. 

Membaca basmalah pada tiap-tiap permulaan pekerjaan seperti ketika mula makan, berniaga, belajar, mengarang , bersetubuh, akan menghasilkan berkat dan pertolongan daripada Allah.


Memulakan tiap-tiap permulaan pekerjaan dengan basmalah juga akan mengingatkan kita bahawa pekerjaan yang hendak dilakukan itu haruslah sesuai dengan syariat Allah dan akan menjadikan suasana kebersamaan kepada Allah sepanjang melakukan perkerjaan tersebut.


Semoga kita semua dapat mengamalkan bacaan basmalah pada setiap permulaan pekerjaan kita.

Tuesday, February 2, 2010

FAHAMi & KUASAI BIDANG ILMU

Ilmu akan diperoleh apabila penghalang yang paling besar iaitu EGO dibuang. Kita ini ibarat wadah yang kosong, sifat-sifat mahmudah dan ilmu akan masuk ke dalam diri kita jika HIJAB ini dibuang. Buangkan ego kita terhadap guru-guru dan pensyarah kita. Rendahkan diri dihadapan pemberi-pemberi ilmu serta tidak mendabik dada.

Mengapa kita perlu menguasai ilmu?
Kita perlu menguasai ilmu adalah untuk mendapat keyakinan dalam berdakwah. Oleh itu pendakwah harus menguasai semua jenis bidang ilmu.
العلم علمان :
فعلم في القلب فذالك هو العلم النافع ؛ وعلم على للسان فذالك حجة الله على ابن آدم
Ilmu itu ada dua jenis : Ilmu yang ada dalam hati ( disertakan amal ), maka itulah yang bermanfaat dan ilmu (yang hanya) berada di atas lidah ( tanpa diamal), maka itulah ilmu (yang menjadi) hujjah Allah (untuk mendakwa kesalahan) terhadap anak Adam.
Riwayat Ibnu Syaibah ddan Al Khatib


طلب العلم فريضة على كل مسلم
Menuntut ilmu wajib bagi setiap muslim.

Ilmu yang wajib dipelajari oleh semua muslim dan muslimat ialah :

1) Ilmu Aqidah / Usuluddin
2) Ilmu Fiqah
3) Ilmu Tasawuf

Manakala ilmu yang perlu dipelajari sebagai pelengkap ialah

1) Al-Quran ( Bacaan Tajwid dan Tafsir )
2) Al-Hadis ( Ilmu Mustolah Hadis )
3) Sirah (Baca dan Sampaikan )
4) Bahasa Arab
5) Dakwah
6) Semasa
7) (المؤمارات ) Konspirasi Musuh Islam
8) Usul Fiqh

Ilmu –ilmu di atas perlulah disebatikan dengan pengetahuan fikrah perjuangan yang  jelas dan tsaqafah mengenai isu-isu semasa, hiburan,politik, ekonomi ,pendidikan dan sebagainya.


Monday, February 1, 2010

Selamat Pengantin Baru Buat Ashraf Lukman



Selamat Pengantin Baru diucapkan kepada sahabat senasyid Ustaz Ashraf bin Lukman dan Isterinya Nurul Hidayah. Walaupun perkahwinan ni dah berlansung pada tahun lepas namun rasanya masih belum terlambat untuk ana abadikan gambar kenangan ni di blog ni. Semoga sahabat-sahabat lain juga berjaya mengikut jejak langkah bertuah Ustaz Ashraf Lukman dalam meneruskan perjuangan sebagai pendidik dan pendakwah.

FARDUL MUSLIM - > BAITUL MUSLIM - > IJTIMAUL MUSLIM - > DAULAH ISLAMIAH 

 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.