Memburu Makrifatullah Dalam Hembusan Nafas.
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. [Al-Baqarah: 269]
Najmi yang sedang menjamu selera di kedai makan “KUNING” bertanya kepada Arif.
“Arif, apa pendapat engkau kalau ada seseorang beri engkau hadiah?
“ Siapa pula yang minat kat aku ni”. Beliau menjawab sambil tersenyum.
“Betul, tanya ikhlas ni”. tambah Najmi lagi.
“Tentulah ada sesuatu yang menggerakkannya untuk memberi hadiah kepada aku”. jawab Arif mudah.
Apakah jawapan sebenarnya yang mahu Najmi cungkil daripada Arif?
Sesungguhnya dalam setiap kerlipan mata dan setiap nafas yang kita hembuskan itu senantiasa ia menanti-nanti dan bersedia untuk menerima ma’rifat daripada Allah S.W.T.
Perumpamaan mudah, apabila seorang kawan memberi hadiah kepada kita. Cubalah kita buka pandangan mata hati kita ?
Pada saat itu bahawa Allah S.W.T lah yang sebenarnya menganugerahkan hadiah itu.
Pandangan kita akan melihat bagaimana Allah S.W.T mengurniakan nikmat itu melalui pentadbirannya dengan menghantar kawan kita sebagai pembawa hadiah darinya.
Apabila menyedari bahawa Allah S.W.T yang mengurniakan nikmat tersebut maka terbukalah kepada kita akan hakikat ketuhanan. Maka terzahirlah pada diri kita Tauhid Rububiyah melalui perkara di atas. Maka keadaan ini bererti kita itu telah mempunyai makrifat.
Bagaimana kehidupan orang yang mempunyai makrifat?
Orang yang mempunyai makrifat, kehidupan hariannya sentiasa tetap dengan ibadat dengan perhatiannya menilik kepada Allah S.W.T dalam setiap kelakuan makhluk.
Oleh itu sedarlah bahawa setiap kerlipan mata dan nafas yang dihembuskan itu dijadikan Allah S.W.T kepada manusia untuk beribadah kepadanya dan tidak sekali-kali dipergunakan untuk membuat maksiat kepada Allah S.W.T.