Saturday, May 16, 2009

Guru Harus Bersifat Murabbi

Tanggal 16 Mei merupakan tarikh hari guru yang disambut setiap tahun di Malaysia dan pada kebiasaanya pada tarikh tersebut guru-guru akan berasa gembira, suka dan tersenyum lebar sekembalinya dari sekolah kerana menerima banyak kad ucapan serta hadiah-hadiah yang istimewa dari anak-anak didik mereka. Saya berdoa mudah-mudahan budaya yang mulia seperti ini tidak pupus kerana ia merupakan tanda penghormatan dan rasa berterima kasih anak-anak murid kepada guru-guru yang mengajar mereka.


Gambar menunjukkan Sekolah Kebangsaan Dato' Abu Bakar Baginda, Kajang Selangor Darul Ehsan. Sekolah rendah ana dahulu semasa ana dan keluarga tinggal di Kampung Dato' Abu Bakar Baginda kajang pada tahun 1991-1995. Gambar tersebut sempat ana ambil ketika berkunjung ke Bangi baru-baru ini. Terima kasih guru-guruku yang telah mendidik daku selama ini...

Suatu perkara yang harus disedari oleh guru-guru bahawa tugas mereka di sekolah bukanlah hanya menyampaikan ilmu dan menghabiskan sukatan pelajaran semata-mata. Bahkan sebenarnya harus lebih dari itu. Di sekolah, guru-guru haruslah berusaha menjadikan diri mereka sebagai murabbi.


Murabbi adalah seorang pendakwah yang bersifat membina anak didiknya. Dia bertindak sebagai pemimpin, guru, orang tua dan juga sahabat kepada anak-anak didiknya. Dia haruslah menganggap anak-anak didiknya itu sebagai sasaran dakwah mereka. Hal ini penting agar mereka dapat menjadi anak-anak yang mempunyai bersifat rabbani dan tahu pentingnya Islam dalam kehidupan.


Kita sebenarnya sedih dengan akhlak dan perilaku generasi muda hari ini yang seolah-olah tidak pernah mendapat didikan moral dan sahsiah di sekolah. Apatah lagi ada yang mendakwa keruntuhan akhlak yang kian meruncing ini merupakan kegagalan guru-guru membentuk dan mengasuh anak-anak didik mereka kearah mencapai falsafah pendidikan negara.


Oleh itu guru haruslah berfungsi sebagai murabbi dan dalam masa yang sama perlu memiliki pelbagai ketrampilan seperti kebolehan memimpin, mengajar, membimbing, dan bergaul kerana hasil dari tangan guru inilah nanti akan lahir generasi yang handal memperjuangkan Islam seterusnya terlibat dan terikat dalam perjuangan Islam yang suci. Sesunguhnya anak-anak didik yang bersifat rabbani tidak akan lahir jika tiada guru-guru yang bersifat murabbi yang ikhlas mengajak umat untuk memperjuangkan Islam. Selamat Hari Guru.


 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.