Monday, April 27, 2009

Kerna Kasihku Pada Mu !

Surau tempat ana belajar bahasa arab di Kubang Kerian.
Nampak usang tapi penuh dengan barakah.


Pada minggu lepas ana mengambil peluang untuk balik ke rumah (Kelantan) dan alhamdulillah dapat menyambung kembali pengajian Bahasa Arab di Kubang Kerian yang agak lama tertinggal. Setelah agak lama tidak ke kelas rasa-rasa macam mahu berhenti terus saja memandangkan banyak tanggungjawab yang perlu dipikul di institut dan bebanan kerja yang bertimbun-timbun. Namun rasa sayang kepada pengajian bahasa arab ini menjadikan ana terus ke kelas biarpun perjalanannya sangat jauh dan bayarannya juga amat mahal. Bagi ana ilmu bahasa arab ini lebih berharga daripada wang ringgit sedangkan duit boleh didapati di mana-mana. Lagipun kaedah pengajaran bahasa arab yang dipelajari di sini jauh berbeza dengan tempat lain kerana ianya sangat mudah difahami dan pelajarannya mudah diingati tanpa menghafal sepatah perkataan pun.

Buku 3 Durus Al-Lughati AL-Arabiah

Pelajaran Pertama... Syukur

Kehadiran ke kelas pada pagi sabtu itu tidak sia-sia kerana Ust Taha telah mula mengajar buku baru iaitu buku 3. Alhamdulilah berkat pengajarannya, baru ana faham beberapa pelajaran yang ana pernah baca sendiri-sendiri sebelum ni tapi tak faham-faham. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, sebelum belajar buku 3 ni, semua pelajar harus menguasai kaedah buku 1 dan buku 2 Durus Al-Lughati AL-Arabiah terlebih dahulu. Malah perlu menghabiskan 2 buah buku latihan berkaitan dengan buku 1 dan buku 2 Durus Al-Lughati AL-Arabiah.

Ini lah Guru ana Ust Taha Abdullah. Seorang warga Amerika yang telah memeluk Islam 20 tahun dahulu. Pernah menuntut di Universiti Islam Madinah dan seorang pakar dalam bahasa arab di Kubang Kerian.


Antara rakan-rakan seperguruan En. Alawi (bekas wartawan) dan En Zaidi seorang jurutera.


Ust Taha Abdullah sedang menerangkan kaedah bahasa arab yang baru. Seronok betul..=)

Thursday, April 9, 2009

Al-Bari Yang Maha Mengadakan Daripada Tiada

"Ketahuilah wahai kekasih, manusia itu tidak dicipta dengan senda gurau ataupun sembarangan,
tetapi dibuat dengan seindah-indahnya dan demi tujuan-tujuan yang agung"
-Imam Ghazali-


Ramai di antara kita yang tidak menyedari mengenai kehebatan asmaul husna yang sering kita nasyidkan sejak dari kecil hinggalah ke dewasa. Kebanyakkan daripada kita juga tidak menyedari bahawa asmaul husna itu boleh membangkitkan kecerdasan dalam diri dan mampu membuka pintu keajaiban di dalam kehidupan kita. Lebih malang lagi hari ini, ramai umat Islam kini yang lidahnya sentiasa basah dengan alunan asmaul husna namun tidak mampu menikmati nilai dalam amalannya. Untuk mengambil nilai dan manfaat dari asmaul husna maka suka untuk ana fokuskan kepada salah satu nama Allah iaitu Al-Bari.

Allah menjelmakan sifat Al-Bari, Yang Maha Mengadakan dengan mengadakan secara sangat serasi setiap benda dan juga makhluk lain, dan masing-masing mempunya perkaitan diantara satu sama lain. Gambaran yang kita dapat lihat di alam semesta ini di mana semua makhluk dijadikan berpasangan dan berada dalam keadaan harmoni yan menakjubkan.



Contohnya bulan dan matahari, malam dan siang, lelaki dan perempuan. Masing-masing ada tugas sendiri dan tidak pernah saling mendahului. Mereka ini tunduk pada ketetapan Allah dan tidak pernah membangkang.Firman Allah S.W.T:

" Maha Suci Allah Yang Menciptakan Pasangan-pasangan semuanya" Yasin ayat 36. " Dan segala sesuatu yang kami ciptakan secara berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah" az-Zariyat ayat 49


Tugas kita sekarang adalah menerapkan nama dan sifat Allah Al-Bari ke dalam diri kita. Maknanya kita dituntut supaya sentiasa terdorong menghasilkan sesuatu yang baru dan memberi manfaat kepada kebaikan umat Islam. Kepada mereka yang berada dalam saf perjuangan Islam, rancanglah program-program baru yang boleh mendekatkan diri dan umat Islam kepada Agama. Sumbangkanlah idea-idea bernas yang boleh membawa kepada kecemerlangan ummah kepada pendokong-pendokong agama Allah. Mudah-mudahan dengan usaha yang sedikit itu, dapatlah menyumbang dan memberi kredit kepada kebaikan dan kegemilangan umat Islam.

Sebenarnya bagi mewujudkan sesuatu yang tidak ada memanglah berat. Namun , kita yang menjadikan Al-Bari sebagai teladan, tidak harus mudah kalah dan putus asa mewujudkan apa yang kita mahu. Sebaliknya harus berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan kita dan di samping berusaha harus diselitkan dengan doa kepada Allah yang tidak putus-putus menyeru namaNya Al-Bari, dengan itu mudah-mudahan Allah akan menolong dan memudahkan segala urusan kita. InsyaAllah...

Marilah kita luangkan masa sejenak merenung kembali adakah kita sudah benar-benar menjadi hambaNya apabila kita bersama denganNya ataupun masih belum? Sekiranya belum, perhatikan baik-baik nasihat bijak daripada al-Anshari:

Lihatlah apa yang engkau kerjakan
sebab itulah harga dirimu






Monday, April 6, 2009

Virus Sibuk

Ana dan rakan sepraktikum, Fauzi sedang bertukus lumus menyiapkan folder.
(Esoknye ustaz saidi dah nak observe he2..)

Sesungguhnya matahari itu berputar di atas paksinya yang telah di tetapkan olehNya. Hidup ini pula bagaikan putaran alam ada malam dan siang. Jika sentiasa siang, bumi akan musnah dengan kepanasan. Jika sentiasa malam, bumi akan musnah dengan kesejukan. Begitu juga dengan kehidupan manusia, adakala masa lapangnya amat mewah dan adakala tiada cukup baginya masa. Jika sentiasa lapang manusia akan leka dengan kehidupan, jika sentiasa sibuk manusia akan mudah berputus asa.

Pengalaman 3 minggu berpraktikum di sekolah mengajar ana tentang betapa berharganya masa. Selama tempoh tersebut barulah ana fahami betapa nikmatnya mempunyai kelapangan masa yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang mana sebelum ini dicuai-cuaikan begitu saja. Terlalu banyak urusan yang perlu disiapkan dan terlalu banyak aktiviti luaran yang harus disertai dan kesemuanya berstatus penting. Benarlah pesanan Rasulullah s.a.w yang tercinta iaitu :

Rebutlah 5 perkara sebelum 5 perkara :

1. 1) Masa kamu hidup sebelum kamu mati

2. 2) Masa kamu sihat sebelum kamu sakit

3. 3) Masa kamu lapang sebelum kamu sibuk

4. 4) Masa kamu muda sebelum kamu tua

5. 5) Masa kamu senang sebelum kamu papa

Pengurusan masa yang baik amat penting ketika ini, agar segala kerja tidak terjejas dan semua aktiviti dapat dijalankan dengan sempurna. Suka ana berpesan kepada sahabat-sahabat dan kepada diri ana sendiri bahawa walaupun betapa sibuk pun kita, kerja-kerja Islam jangan ditinggalkan dan diambil ringan, solat berjamaah jangan dicuaikan, ibadah-ibadah nawafil jangan diremehkan kerana ia merupakan asbab pertolongan Allah kepada hambanya. Allah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu untuk mencapai kemenangan dan meneguhkan tapak pendirian kamu.( Muhammad:7)


Di samping itu juga penting diingatkan disini juga supaya kita tidak lupa berusaha menjadikan segala kesibukan itu sebagai ibadah kepada Allah s.w.t dengan membetulkan niat kerana Allah serta tidak sekali-kali melanggar perintah Allah s.w.t ketika menyempurnakan segala urusan. Jika tidak, maka jadilah kita orang yang rugi di dunia mahupun di akhirat.


Sahabat-sahabat, sebagai seorang yang benar-benar muslim, kita harus sentiasa memohon pertolongan kepadaNya dengan memperbanyakkan solat dan sentiasa bersabar dengan segala masalah dan ujian yang menimpa kita. InsyaAllah yakinlah, Allah agar mempermudahkan segala urusan kita.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. Al-Baqarah : 45 .

TAKBIR !

 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.