Wednesday, October 21, 2009

Bangga Jadi Muslim di Kelantan


Pada hari Rabu, 21 Oktober 2009 adalah ulang tahun ke-19 pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulamak.

Sekaligus mengesahkan telah 19 tahun Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan. Ia juga adalah ulang tahun ke-19 bagi pelaksanaan slogan Membangun Bersama Islam yang dijadikan panduan perancangan pembangunan negeri.

Ia satu slogan yang mendahulukan nilai-nilai ad-din di dalam memenuhi harapan rakyat. Ini juga bermakna, selama 19 tahun prinsip pentadbiran berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan telah dijadikan amalan oleh seluruh agensi kerajaan negeri Kelantan.

Maka, selayaknya telah berlaku kesan nyata daripada perancangan dan pelaksanaan ke atas tiga aspek perjalanan kerajaan negeri falsafah kepimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran,sekaligus menobatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai menteri besar yang ulung menerajui eksekutif kerajaan negeri.

Justeru itu, sempena mengingati ulang tahun ke-19, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menerajui kepimpinan ulamak mentadbir negeri Kelantan, semua laluan sejarah lepas sewajarnya dijadikan pengalaman, demi menyongsong kejayaan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

HAMBA PILIHAN ALLAH

Tuesday, October 20, 2009

Berita Gembira - > Peluang Bisnes Untuk Anda


Ramai sahabat-sahabat yang ajak saya bisnes dan cerita pelbagai jenis ilmu bisnes. Macam-macam jenis bisnes ada. Sehinggakan bisnes multilevel yang jelas haram pun digodanya saya untuk menyertainya. Namun s aya perhatikan kehidupan mereka jelas semakin jauh mereka itu dari tuhan, semakin sibuk mereka itu dengan bisnes mereka. Ke sana ke mari sehingga lupa sudah mereka kepada rumah Allah. Sebelum berbisnes mereka merupakan ahli kepada rumah Allah, kuat bekerja untuk Islam, tetapi sesudah menceburi bisnes sebaliknya pula terjadi.

Teringat saya kata-kata naqib hasil ulasannya dari sebuah hadis :

“ Apabila Allah murka pada seseorang, maka Allah berikannya harta yang haram dan Allah kirimkan syaitan untuk menjaga harta-hartanya. Maka syaitan pun menyibukkannya dengan kekayaan sehingga dia tiada masa lagi untuk Islam. Tiada masa lagi untuk beramal dan bekerja untuk memperjuangkan Islam. Tiada masa lagi untuk solat berjemaah di masjid, berusrah dan sebagainya. Lebih parah lagi, dia tidak akan terasa bahawa dia telah dilalaikan oleh syaitan dengan harta-hartanya.”

Ramai para sahabat Rasulullah dengan sebab harta, mereka menjadi kaya raya. Namun kekayaan mereka menjadi jambatan ke syurga. Semakin kaya mereka, semakin kuat mereka berjuang untuk agama Allah. Tetapi manusia sekarang meninggalkan kerja-kerja Islam untuk menjadi kaya. Jadi terbalik “coowhere” (istilah kelantan). Jauhnya kita jika hendak dibandingkan dengan para sahabat.

Kata naqib lagi :

“ Alamat orang yang dimurkai oleh Allah s.w.t ialah dia susah hendak melakukan kebaikan dan sangat mudah dan senang untuk membuat maksiat dan kejahatan. Sebaliknya alamat orang yang disukai Allah ialah dia berasa senang untuk melakukan kebaikan dan berasa berat untuk melakukan maksiat dan kejahatan kepada Allah.

Saya rasa terpukul dengan kata-kata naqib dan mula sedar diri...

ALLAH AJAK KITA BUAT BISNES

Di dalam surah yang lain (as-Soff 10-12) Allah menjanjikan sebuah bisnes yang dapat menyelamatkan diri orang-orang beriman daripada azab neraka yang tidak terperi sakitnya dengan hanya bermodalkan kepada dua perkara iaitu :

Modal 1: Beriman kepada Allah dan Rasul.

Modal 2: Berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri.

Daripada bisnes ini Allah s.w.t menjanjikan 3 untung bersih iaitu :

Untung 1 : Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu

Untung 2 : Masuk ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.

Untung 3 : Ditempatkan di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn"

Malahan ada lagi tambahan bonus daripada keuntungan tersebut iaitu :

Bonus 1 : Mendapat limpah kurnia yang disukainya.

Bonus 2 : Mendapat pertolongan dari Allah.

Bonus 3 : Kemenangan yang cepat.

Inilah berita-berita gembira tentang bisnes yang Allah yang harus disahut oleh orang-orang beriman dan disampaikan kepada para mukminin yang lain Allah s.w.t. Allah s.w.t meyebut di akhir ayat ini “Itulah kemenangan yang besar”. Oleh itu marilah kita sama-sama berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan seikhlas hati agar kejayaan menjadi milik kita.

Sunday, October 18, 2009

PERLUNYA WARA’ SEMASA BELAJAR

*Pengajian bersama Ustaz Kamal (Pengajar Pondok Hidayah, Batu Buruk Terengganu).

Penuntut ilmu haruslah mempunyai sifat wara’ semasa belajar . Orang yang wara’ dalam belajar maka dia akan mudah untuk belajar dan ilmunya akan memberi manfaat kepada dirinya dengan sebab barakah wara’nya itu. Jika dia menjadi guru maka murid-muridnya juga nanti akan mudah mendapat ilmu daripadanya dan banyak faedah yang akan didapati daripadanya. Hal ini terjadi kerana semasa belajar dahulu, dia wara’ dalam belajar.

Antara wara’ semasa belajar ialah :

1) Menjaga perut daripada makan terlalu kenyang.

2) Tidak meniru semasa peperiksaan.

3) Tidak banyaknya tidur.

4) Tidak banyak bercakap benda-benda yang tidak memberi manfaat.

5) Menjaga diri daripada makan makanan pasar sekadar yang mampu kerana makanan pasar itu hampir kepada najis dan kotoran. (Jika hendak membeli makanan pasar pastikan penjual itu dikalangan orang yang sembahyang, menutup aurat.) Hal ini perlu dijaga kerana mengikut gurunya, ditakuti kefasikan penjual tersebut akan mengalir kepada pembeli lalu menyebabkan hati pembeli menjadi lalai dan tidak kuat untuk melakukan ibadah kepada Allah s.w.t serta menjauhkannya dari mengingati Allah). Yang keduanya membeli makanan di pasar akan menyakiti hati orang-orang fakir yang tidak mampu untuk membeli di pasar-pasar dan bila kita membelinya hilang barakah makanan tersebut.

6) Menjauhi mengumpat dan mengelak dari duduk dalam majlis orang yang banyak bercakap perkara tidak bermanfaat. Kerana apabila bersama mereka, sebenarnya umur kita telah dicuri oleh mereka dan mensia-siakan waktu kita.

7) Menjauhi diri daripada berkawan dengan kawan-kawan yang rosak dan ahli maksiat serta orang yang malas dan suka duduk bersahaja kerana ia akan memberi kesan kepada akhlak kita.

8) Merebut doa-doa orang yang soleh. Cara mendapatkannya ialah selalu menziarahi orang-orang yang soleh dan para ulama dan meminta mereka mendoakan kita.

9) Mengadap Kiblat. Satu kisah di mana ada dua orang lelaki yang tinggal sekampung, lalu mereka telah keluar dari kampung masing-masing untuk menuntut ilmu. Setelah beberapa tahun mereka pun pulang ke kampung. Maka didapati hanya salah seorang daripada mereka sahaja yang alim serta faqih dalam ilmunya sedang yang seorang lagi tidak. Lalu diberitahu bahawa lelaki yang alim dan faqih itu sentiasa mengulang-ngulang pelajarannya dan mengadap kiblat semasa belajar sedangkan seorang lagi lelaki tadi tidak alim dan faqih kerana dia selalu membelakangi kiblat.
Selamat Menunntut Ilmu Untuk Membantu Islam

Saturday, October 17, 2009

Biro Agama JPP Perlu Perkasakan Usrah di IPG.


Baru-baru ini saya telah menghadiri suatu pertemuan dengan sahabat-sahabat seperjuangan sempena Aidilfitri. Sedikit sebanyak kami telah berbincang mengenai masalah-masalah yang melanda guru-guru pelatih IPG di Malaysia.
Masalah-masalah seperti meninggalkan solat, couple, berkhalwat, berpakaian tidak sopan (mendedahkan aurat), kecurian, perkongsian bahan-bahan porno, tidak berpuasa, “gila games” adalah antara yang berlaku di setiap IPG. Hal-hal seperti ini menjadi kebimbangan kepada para pencinta agama di setiap IPG kerana memandang bahawa mereka inilah yang bakal mendidik anak-anak Malaysia apabila keluar dari institut perguruan nanti.
Apakah akan terjadi kepada anak bangsa apabila mereka dididik oleh guru-guru yang bermasalah dengan tuhan serta bermasalah dengan manusia ini. Setelah berbincang kami dapati bahawa kurangnya kesedaran dan kefahaman agama adalah merupakan faktor penyumbang kepada berlakunya perkara-perkara tersebut.
Oleh yang demikian, antara usaha utama yang harus diambil setiap guru pelatih Islam ialah memperkasakan usrah di insitut masing-masing. Naqib saya pernah menyebut bahawa “Usrah bukan direka bersahaja, tetapi ia merupakan proses membawa manusia kepada menyembah Allah dan menjauhi dari thaqut”. Sebagaimana perintah Allah dalam al-Quran.

أَنِ اعْبُدُواْ اللّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ
"Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut".

Usrah haruslah melibatkan semua guru pelatih di institut agar pelaksanaannya dilihat sebagai menyeluruh. Cuba anda semua bayangkan jika kesemua 27 IPGM memperkasakan usrah masing-masing sudah tentu ia akan menghasilkan kesan yang mendalam kepada semua guru pelatih secara total. Antara tindakan yang boleh diambil oleh guru pelatih Islam ialah menguasai JPP dan proksi-proksi yang ada di kampus-kampus masing-masing dan menjadikan usrah sebagai program wajib insititut.

Dalam pada itu perlu diingati, usrah haruslah dijadikan sesuatu yang diminati oleh semua guru pelatih. Masalah yang timbul sekarang ini, guru-guru pelatih dilihat cuba untuk mengelakkan diri daripada menghadiri Usrah. Hal ini berlaku di atas dasar pendekatan pengendalian usrah yang bersifat “klasik” yang dibawa dari sekolah masing-masing. Pendekatan usrah harus pelbagai dan menarik agar anak-anak usrah rindu dan minat kepada usrah. Modul-modul kreatif usrah haruslah di serapkan di dalam usrah sebagai set induksi yang menarik dan mampu menimbulkan minat anak-anak usrah kepada usrah.

Oleh itu marilah bersama-sama kita gemakan tarbiah di kampus masing-masing demi melahirkan generasi rabbani pada masa yang akan datang. =) Kepada sahabat-sahabat yang mahukan modul - modul usrah kreatif bolehlah mendownloadnya di http://creativesifu.blogspot.com

Wednesday, October 14, 2009

LEDAKKAN KUASA MAHASISWA

Mahasiswa Islam pada hari ini sebenarnya bertanggungjawab mengembalikan semula kefahaman umat Islam tentang kesyumulan Islam yang sebelum ini telah diselewengkan oleh musuh-musuh Islam. Usaha tersebut dilihat maha penting bagi menghapuskan kejahilan umat Islam sendiri yang tidak memahami tasawwur Islam dengan sebenarnya.

Kejahilan dan Kelemahan umat Islam disebabkan lemahnya mereka memahami Islam berdasarkan ajaran al-Quran. Sepatutnya umat Islam mempelajari ilmu di bawah semangat ajaran Islam. Barulah ilmu yang diperolehi dapat membantu menguatkan lagi Islam yang dianuti.

Janganlah kita menjadi seperti golongan “tradisionalis” yang lebih menekankan persoalan Ibadah Khususiyyah, seperti sembahyang, puasa, zakat, dan haji tanpa melihat kepada tuntutan Islam sejagat.

Kita juga harus mengatakan “TAK NAK” kepada golongan “modenis” yang hanya menekankan kepada kemajuan “orang Islam” tanpa melihat kepada tuntutan Islam seluruhnya dengan bersikap sekular iaitu melihat agama dan negara dari sudut –sudut yang berlainan.

Marilah kita ledakkan perjuangan mempertahankan identiti Islam dari sebarang pengubahsuaian dan memperjuangankan Islam sebagai “Ad-Deen”. Timbulkan minat dalam diri untuk memperbaiki masyarakat dan individu yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

Ingatlah kemenangan dalam perjuangan Islam tidak akan diraih tanpa pertolongan daripada Allah SWT dan pertolongan Allah hanya akan dapat dicapai apabila pejuang mendekatkan diri kepadaNya.

Menurut Dr Yusuf Qaradawi (2005) antara unsur-unsur dasar ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah ialah :

1) 1) Berpegang teguh dengan sunnah dan menjauhi bidaah.

2) 2) Menjaga perkara-perkara fardhu kerana Allah tidak menerima amalan sunnah sebelum memenuhi amalan fardhu.

3) 3) Menganjurkan Solat Jamaah.

4) 4) Menganjurkan pelaksanaan sunnah khususnya berpuasa dan solat malam.

Realisasikan pembentukan “Daulah Islamiah” dengan pembentukan peribadi-peribadi muslim dan pembentukan keluarga-keluarga muslim dan setelah itu akan terbentuklah masyarakat Islam dan tertegaklah negara Islam.


 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.