Monday, April 6, 2009

Virus Sibuk

Ana dan rakan sepraktikum, Fauzi sedang bertukus lumus menyiapkan folder.
(Esoknye ustaz saidi dah nak observe he2..)

Sesungguhnya matahari itu berputar di atas paksinya yang telah di tetapkan olehNya. Hidup ini pula bagaikan putaran alam ada malam dan siang. Jika sentiasa siang, bumi akan musnah dengan kepanasan. Jika sentiasa malam, bumi akan musnah dengan kesejukan. Begitu juga dengan kehidupan manusia, adakala masa lapangnya amat mewah dan adakala tiada cukup baginya masa. Jika sentiasa lapang manusia akan leka dengan kehidupan, jika sentiasa sibuk manusia akan mudah berputus asa.

Pengalaman 3 minggu berpraktikum di sekolah mengajar ana tentang betapa berharganya masa. Selama tempoh tersebut barulah ana fahami betapa nikmatnya mempunyai kelapangan masa yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang mana sebelum ini dicuai-cuaikan begitu saja. Terlalu banyak urusan yang perlu disiapkan dan terlalu banyak aktiviti luaran yang harus disertai dan kesemuanya berstatus penting. Benarlah pesanan Rasulullah s.a.w yang tercinta iaitu :

Rebutlah 5 perkara sebelum 5 perkara :

1. 1) Masa kamu hidup sebelum kamu mati

2. 2) Masa kamu sihat sebelum kamu sakit

3. 3) Masa kamu lapang sebelum kamu sibuk

4. 4) Masa kamu muda sebelum kamu tua

5. 5) Masa kamu senang sebelum kamu papa

Pengurusan masa yang baik amat penting ketika ini, agar segala kerja tidak terjejas dan semua aktiviti dapat dijalankan dengan sempurna. Suka ana berpesan kepada sahabat-sahabat dan kepada diri ana sendiri bahawa walaupun betapa sibuk pun kita, kerja-kerja Islam jangan ditinggalkan dan diambil ringan, solat berjamaah jangan dicuaikan, ibadah-ibadah nawafil jangan diremehkan kerana ia merupakan asbab pertolongan Allah kepada hambanya. Allah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu untuk mencapai kemenangan dan meneguhkan tapak pendirian kamu.( Muhammad:7)


Di samping itu juga penting diingatkan disini juga supaya kita tidak lupa berusaha menjadikan segala kesibukan itu sebagai ibadah kepada Allah s.w.t dengan membetulkan niat kerana Allah serta tidak sekali-kali melanggar perintah Allah s.w.t ketika menyempurnakan segala urusan. Jika tidak, maka jadilah kita orang yang rugi di dunia mahupun di akhirat.


Sahabat-sahabat, sebagai seorang yang benar-benar muslim, kita harus sentiasa memohon pertolongan kepadaNya dengan memperbanyakkan solat dan sentiasa bersabar dengan segala masalah dan ujian yang menimpa kita. InsyaAllah yakinlah, Allah agar mempermudahkan segala urusan kita.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. Al-Baqarah : 45 .

TAKBIR !

1 comments:

Nur Salsabila Isa said...

Sesibuk manapun kita, hablum minallah tetap perlu dijaga sebaiknya..kerana kita perlu percaya, apabila kita menjaga hub dgnNya nescaya Dia akan menjaga kita dengan sebaik-baik penjagaan melebihi apa yg kita berikan kepadaNya..Itulah bukti kasih sayang Tuhan..

" Kami akan mudahkan bagimu jalan yang mudah" ( Al a'laa: 8)

 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.