Sunday, October 18, 2009

PERLUNYA WARA’ SEMASA BELAJAR

*Pengajian bersama Ustaz Kamal (Pengajar Pondok Hidayah, Batu Buruk Terengganu).

Penuntut ilmu haruslah mempunyai sifat wara’ semasa belajar . Orang yang wara’ dalam belajar maka dia akan mudah untuk belajar dan ilmunya akan memberi manfaat kepada dirinya dengan sebab barakah wara’nya itu. Jika dia menjadi guru maka murid-muridnya juga nanti akan mudah mendapat ilmu daripadanya dan banyak faedah yang akan didapati daripadanya. Hal ini terjadi kerana semasa belajar dahulu, dia wara’ dalam belajar.

Antara wara’ semasa belajar ialah :

1) Menjaga perut daripada makan terlalu kenyang.

2) Tidak meniru semasa peperiksaan.

3) Tidak banyaknya tidur.

4) Tidak banyak bercakap benda-benda yang tidak memberi manfaat.

5) Menjaga diri daripada makan makanan pasar sekadar yang mampu kerana makanan pasar itu hampir kepada najis dan kotoran. (Jika hendak membeli makanan pasar pastikan penjual itu dikalangan orang yang sembahyang, menutup aurat.) Hal ini perlu dijaga kerana mengikut gurunya, ditakuti kefasikan penjual tersebut akan mengalir kepada pembeli lalu menyebabkan hati pembeli menjadi lalai dan tidak kuat untuk melakukan ibadah kepada Allah s.w.t serta menjauhkannya dari mengingati Allah). Yang keduanya membeli makanan di pasar akan menyakiti hati orang-orang fakir yang tidak mampu untuk membeli di pasar-pasar dan bila kita membelinya hilang barakah makanan tersebut.

6) Menjauhi mengumpat dan mengelak dari duduk dalam majlis orang yang banyak bercakap perkara tidak bermanfaat. Kerana apabila bersama mereka, sebenarnya umur kita telah dicuri oleh mereka dan mensia-siakan waktu kita.

7) Menjauhi diri daripada berkawan dengan kawan-kawan yang rosak dan ahli maksiat serta orang yang malas dan suka duduk bersahaja kerana ia akan memberi kesan kepada akhlak kita.

8) Merebut doa-doa orang yang soleh. Cara mendapatkannya ialah selalu menziarahi orang-orang yang soleh dan para ulama dan meminta mereka mendoakan kita.

9) Mengadap Kiblat. Satu kisah di mana ada dua orang lelaki yang tinggal sekampung, lalu mereka telah keluar dari kampung masing-masing untuk menuntut ilmu. Setelah beberapa tahun mereka pun pulang ke kampung. Maka didapati hanya salah seorang daripada mereka sahaja yang alim serta faqih dalam ilmunya sedang yang seorang lagi tidak. Lalu diberitahu bahawa lelaki yang alim dan faqih itu sentiasa mengulang-ngulang pelajarannya dan mengadap kiblat semasa belajar sedangkan seorang lagi lelaki tadi tidak alim dan faqih kerana dia selalu membelakangi kiblat.
Selamat Menunntut Ilmu Untuk Membantu Islam

0 comments:

 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.