Monday, February 23, 2009

Ilmu Perubatan Perosak Aqidah


Terlebih dahulu saya bermohon beribu kemaafan kerana lama meninggalkan saudara tanpa mengemaskini halaman ini. Situasi semasa memerlukan saya menumpukan sepenuh masa menguruskan beberapa urusan yang memerlukan masa yang mewah untuk membuat perancangan yang teliti dalam menguruskan organisasi dan kerana itulah asbab kepada kasih sayang Allah iaitu :

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”.

Untuk post kali ini saya mahu mengajak sahabat-sahabat sekalian memerhatikan surat khabar Metro 23 Februari 2009 yang menyiarkan berita mengenai sebuah laman web “ilmu pengasih” yang mana menawarkan bayaran RM30 bagi sesiapa saja yang mahu mempelajari ilmu perangsang, membangkit berahi wanita, menghilangkan diri, pelaris, membuat minyak pengasih, penunduk, tarik duit, cinta berahi dan memikat suami. Lebih teruk lagi laman web ini juga mencampur adukkan ayat suci al-Quran dengan pelbagai mentera yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam.

Sebenarnya laman web seperti ini semakin hari semakin bertambah dan kita bimbang suatu hari nanti amalan-amalan khurafat seperti ini menjadi amalan sebahagian umat Islam yang kurang fahaman agama khasnya golongan muda yang masih mentah serta kadang-kadang terlalu ghairah mempelajari ilmu seperti itu.

Aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan Islam ini turut sama boleh menjerumuskan pengamalnya kepada pencemaran aqidah. Seorang Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, ketika diminta mengulas kewujudan laman web mungkar itu, berkata :

1. 1. Teknik pembelajaran sedemikian tidak digalakkan agama berikutan boleh mengakibatkan akidah umat Islam disongsangkan. 2. Doa daripada ayat suci al-Quran serta mentera yang diragui maksudnya boleh menyesatkan umat Islam. 3. Ia dicurigai menyeru makhluk lain, jika diamalkan tanpa meminta nasihat daripada pakar agama.

Keadaan ini sebenarnya lebih merisaukan dan dicurigai kerana mengikut hadis Rasulullah, teknik pembelajaran tanpa berguru boleh diibarat seperti berguru dengan syaitan.

Sheikh Muhammad Haddad juga pernah menyebut bahawa :

من يأحذ العلم عن شيخ مشافهة يكن عن الزيغ والتصحيف في حرم
ومن يكن ءاخذ للعلم من صحف فعلمه عند أهل العلم كالعدم

محمد الحداد

“ Sesiapa yang mengambil ilmu dari seseorang secara musyafahah maka tiada kesangsian baginya dan jauh dari kesilapan, dan siapa yang mengambil ilmu dari buku-buku maka ibarat tiada ilmu disisi para ahli ilmu”.

Sebenarnya bagi mereka yang benar-benar ingin mendalami ilmu agama mereka boleh berguru kepada guru agama yang mursyid serta mahir dalam bidang ini serta mempunyai kelulusan yang diiktiraf. Hal adalah supaya kesilapan atau sebarang perkara tidak jelas boleh dirujuk terus pada guru masing-masing.

Kepada mereka yang berminat untuk mempelajari ilmu perubatan al-Quran atau menerima perubatan bolehlah terus merujuk kepada :

http://www.darussyifa.org/

Iaitu sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan rawatan, pengetahuan asas rawatan, kemusykilan dan soal jawab agama. Darussyifa' hanya menggunakan dengan cara yang teratur dan tersusun ayat-ayat al-Quran, amalan sunnah Rasulullah dan kaedah-kaedah lain yang selaras dengan syarak dalam tujuan mencari ikhtiar untuk merawat pesakit sama ada sakit fizikal atau spiritual.

Rawatan yang diamalkan oleh Darussyifa' ini tidak boleh dimasukkan dalam kategori perubatan Melayu tradisional kerana rangkaian al-Quran yang dibaca itu jelas ayat-ayatnya, hadis-hadis dan sunnah Rasulullah itu nyata sumbernya manakala doa-doa yang dipohon juga jelas maksud dan susunan katanya. Sekadar itu perkongsian dengan sahabat-sahabat semua.

“Teruskan Perjuangan Memperkasakan Tarbiah, Menegakkan Haq Dan Membanteras Kebatilan”.

0 comments:

 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.