Wednesday, February 25, 2009

Serpihan Tulang Berbau Wangi


GAZA Faris Hamdan Mahmud,67, bersama anak saudaranya, Al Rafah Saiedi,6, merasa pilu dan sedih akibat kemusnahan rumahnya serta kematian kaum kerabatnya di Kampungnya, Zaitun Selatan di Gaza City, Palestin. Gambar Tun Izhar Tun Ishak. 23/1/2009

Hari ini saya terbaca satu berita di akhbar metro (26 Februari 2009) yang menceritakan pengalaman seorang jurufoto The New Straits Times Press (NSTP) Berhad, Tun Izhar Tun Ishak yang berkesempatan membuat liputan secara dekat untuk melihat penderitaan rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini. Antaranya yang menyentuh hati saya ialah pengalaman beliau menyaksikan sendiri serpihan daging dan tulang rakyat Palestin yang terlekat di dinding bangunan akibat dibom tentera rejim Zionis yang mana menjadi detik paling sukar dilupakan dalam hidupnya.

Antaranya dia bercerita :

“Mulanya ngeri juga melihat daging dan tulang yang sengaja tidak dicuci penduduk tempatan. Bagaimanapun, perasaan saya bertukar daripada ngeri menjadi terharu sebaik melihat dari dekat mayat terbabit.

“Ajaibnya, tulang yang terlekat itu langsung tidak berbau busuk, malah mengeluarkan bau wangi. Mungkin mereka ini termasuk golongan syahid yang dijanjikan syurga.

Ketika membaca berita ini tiba-tiba terlintas di fikiran saya kepada salah satu ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah 153 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: Orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

Mungkin inilah janji Allah kepada hamba-hambanya yang syahid berjuang menegakkan agama-NYA. Ramai orang menyangka bahawa rakyat palestin yang mati begitu sahaja, sedangkan mereka sebenarnya sedang menikmati kenikmatan syurga yang telah dijanjikan Allah kepada mereka. Hal ini kerana mereka yakin dengan janji Allah yang disebutkan di dalam kitab yang mulia iaitu :

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh.

(Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.


Marilah kita bersama mendoakan agar Allah menolong para mujahidin dan mustadafin di Palestin. Mudah-mudahan roh jihad para mujahidin turut sama dirasai oleh kita semua. Takbir !

0 comments:

 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.