Monday, August 31, 2009

Isu Perjuangan Kemerdekaan Belum Lagi Selesai



Erti merdeka pada Islam adalah kejayaan membebaskan aqidah (pegangan) dari mengabdikan diri kepada makhluk kepada pengabdian diri kepada Allah SWT.

Perjuangan itulah yang dipikul oleh Nabi Muhammad SAW sepanjang hayat baginda. Dan sesiapa yang berjaya membebaskan diri mereka dari perkara tersebut, dialah yang sebenarnya merdeka.

Islam menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh Jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga dan bangsa Nabi SAW sendiri, sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dalam keadaan negara sekarang, warisan jahiliah dilihat terus menyubur dalam diri masyarakat dalam negara ini. Tidak kira dalam aspek pentadbiran, kehidupan sosial harian, ekonomi mahupun politik, budaya jahiliah katanya seolah olah tidak ditelan zaman cuma bezanya ia dipraktik secara moden.

Sehubungan itu, perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai. Kita harus menyambung perjuangan memerdekakan masyarakat seperti yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Walaupun negara kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun dahulu, tetapi warisan penjajah masih lagi wujud, bertapak dan berakar umbi di dalam masyarakat kita. Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai."

Kita harus terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya ataupun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT."

PETIKAN UCAPAN TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG SEMPENA SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-52


0 comments:

 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.