Sunday, October 18, 2009

PERLUNYA WARA’ SEMASA BELAJAR

*Pengajian bersama Ustaz Kamal (Pengajar Pondok Hidayah, Batu Buruk Terengganu).

Penuntut ilmu haruslah mempunyai sifat wara’ semasa belajar . Orang yang wara’ dalam belajar maka dia akan mudah untuk belajar dan ilmunya akan memberi manfaat kepada dirinya dengan sebab barakah wara’nya itu. Jika dia menjadi guru maka murid-muridnya juga nanti akan mudah mendapat ilmu daripadanya dan banyak faedah yang akan didapati daripadanya. Hal ini terjadi kerana semasa belajar dahulu, dia wara’ dalam belajar.

Antara wara’ semasa belajar ialah :

1) Menjaga perut daripada makan terlalu kenyang.

2) Tidak meniru semasa peperiksaan.

3) Tidak banyaknya tidur.

4) Tidak banyak bercakap benda-benda yang tidak memberi manfaat.

5) Menjaga diri daripada makan makanan pasar sekadar yang mampu kerana makanan pasar itu hampir kepada najis dan kotoran. (Jika hendak membeli makanan pasar pastikan penjual itu dikalangan orang yang sembahyang, menutup aurat.) Hal ini perlu dijaga kerana mengikut gurunya, ditakuti kefasikan penjual tersebut akan mengalir kepada pembeli lalu menyebabkan hati pembeli menjadi lalai dan tidak kuat untuk melakukan ibadah kepada Allah s.w.t serta menjauhkannya dari mengingati Allah). Yang keduanya membeli makanan di pasar akan menyakiti hati orang-orang fakir yang tidak mampu untuk membeli di pasar-pasar dan bila kita membelinya hilang barakah makanan tersebut.

6) Menjauhi mengumpat dan mengelak dari duduk dalam majlis orang yang banyak bercakap perkara tidak bermanfaat. Kerana apabila bersama mereka, sebenarnya umur kita telah dicuri oleh mereka dan mensia-siakan waktu kita.

7) Menjauhi diri daripada berkawan dengan kawan-kawan yang rosak dan ahli maksiat serta orang yang malas dan suka duduk bersahaja kerana ia akan memberi kesan kepada akhlak kita.

8) Merebut doa-doa orang yang soleh. Cara mendapatkannya ialah selalu menziarahi orang-orang yang soleh dan para ulama dan meminta mereka mendoakan kita.

9) Mengadap Kiblat. Satu kisah di mana ada dua orang lelaki yang tinggal sekampung, lalu mereka telah keluar dari kampung masing-masing untuk menuntut ilmu. Setelah beberapa tahun mereka pun pulang ke kampung. Maka didapati hanya salah seorang daripada mereka sahaja yang alim serta faqih dalam ilmunya sedang yang seorang lagi tidak. Lalu diberitahu bahawa lelaki yang alim dan faqih itu sentiasa mengulang-ngulang pelajarannya dan mengadap kiblat semasa belajar sedangkan seorang lagi lelaki tadi tidak alim dan faqih kerana dia selalu membelakangi kiblat.
Selamat Menunntut Ilmu Untuk Membantu Islam

Saturday, October 17, 2009

Biro Agama JPP Perlu Perkasakan Usrah di IPG.


Baru-baru ini saya telah menghadiri suatu pertemuan dengan sahabat-sahabat seperjuangan sempena Aidilfitri. Sedikit sebanyak kami telah berbincang mengenai masalah-masalah yang melanda guru-guru pelatih IPG di Malaysia.
Masalah-masalah seperti meninggalkan solat, couple, berkhalwat, berpakaian tidak sopan (mendedahkan aurat), kecurian, perkongsian bahan-bahan porno, tidak berpuasa, “gila games” adalah antara yang berlaku di setiap IPG. Hal-hal seperti ini menjadi kebimbangan kepada para pencinta agama di setiap IPG kerana memandang bahawa mereka inilah yang bakal mendidik anak-anak Malaysia apabila keluar dari institut perguruan nanti.
Apakah akan terjadi kepada anak bangsa apabila mereka dididik oleh guru-guru yang bermasalah dengan tuhan serta bermasalah dengan manusia ini. Setelah berbincang kami dapati bahawa kurangnya kesedaran dan kefahaman agama adalah merupakan faktor penyumbang kepada berlakunya perkara-perkara tersebut.
Oleh yang demikian, antara usaha utama yang harus diambil setiap guru pelatih Islam ialah memperkasakan usrah di insitut masing-masing. Naqib saya pernah menyebut bahawa “Usrah bukan direka bersahaja, tetapi ia merupakan proses membawa manusia kepada menyembah Allah dan menjauhi dari thaqut”. Sebagaimana perintah Allah dalam al-Quran.

أَنِ اعْبُدُواْ اللّهَ وَاجْتَنِبُواْ الطَّاغُوتَ
"Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut".

Usrah haruslah melibatkan semua guru pelatih di institut agar pelaksanaannya dilihat sebagai menyeluruh. Cuba anda semua bayangkan jika kesemua 27 IPGM memperkasakan usrah masing-masing sudah tentu ia akan menghasilkan kesan yang mendalam kepada semua guru pelatih secara total. Antara tindakan yang boleh diambil oleh guru pelatih Islam ialah menguasai JPP dan proksi-proksi yang ada di kampus-kampus masing-masing dan menjadikan usrah sebagai program wajib insititut.

Dalam pada itu perlu diingati, usrah haruslah dijadikan sesuatu yang diminati oleh semua guru pelatih. Masalah yang timbul sekarang ini, guru-guru pelatih dilihat cuba untuk mengelakkan diri daripada menghadiri Usrah. Hal ini berlaku di atas dasar pendekatan pengendalian usrah yang bersifat “klasik” yang dibawa dari sekolah masing-masing. Pendekatan usrah harus pelbagai dan menarik agar anak-anak usrah rindu dan minat kepada usrah. Modul-modul kreatif usrah haruslah di serapkan di dalam usrah sebagai set induksi yang menarik dan mampu menimbulkan minat anak-anak usrah kepada usrah.

Oleh itu marilah bersama-sama kita gemakan tarbiah di kampus masing-masing demi melahirkan generasi rabbani pada masa yang akan datang. =) Kepada sahabat-sahabat yang mahukan modul - modul usrah kreatif bolehlah mendownloadnya di http://creativesifu.blogspot.com

Wednesday, October 14, 2009

LEDAKKAN KUASA MAHASISWA

Mahasiswa Islam pada hari ini sebenarnya bertanggungjawab mengembalikan semula kefahaman umat Islam tentang kesyumulan Islam yang sebelum ini telah diselewengkan oleh musuh-musuh Islam. Usaha tersebut dilihat maha penting bagi menghapuskan kejahilan umat Islam sendiri yang tidak memahami tasawwur Islam dengan sebenarnya.

Kejahilan dan Kelemahan umat Islam disebabkan lemahnya mereka memahami Islam berdasarkan ajaran al-Quran. Sepatutnya umat Islam mempelajari ilmu di bawah semangat ajaran Islam. Barulah ilmu yang diperolehi dapat membantu menguatkan lagi Islam yang dianuti.

Janganlah kita menjadi seperti golongan “tradisionalis” yang lebih menekankan persoalan Ibadah Khususiyyah, seperti sembahyang, puasa, zakat, dan haji tanpa melihat kepada tuntutan Islam sejagat.

Kita juga harus mengatakan “TAK NAK” kepada golongan “modenis” yang hanya menekankan kepada kemajuan “orang Islam” tanpa melihat kepada tuntutan Islam seluruhnya dengan bersikap sekular iaitu melihat agama dan negara dari sudut –sudut yang berlainan.

Marilah kita ledakkan perjuangan mempertahankan identiti Islam dari sebarang pengubahsuaian dan memperjuangankan Islam sebagai “Ad-Deen”. Timbulkan minat dalam diri untuk memperbaiki masyarakat dan individu yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

Ingatlah kemenangan dalam perjuangan Islam tidak akan diraih tanpa pertolongan daripada Allah SWT dan pertolongan Allah hanya akan dapat dicapai apabila pejuang mendekatkan diri kepadaNya.

Menurut Dr Yusuf Qaradawi (2005) antara unsur-unsur dasar ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah ialah :

1) 1) Berpegang teguh dengan sunnah dan menjauhi bidaah.

2) 2) Menjaga perkara-perkara fardhu kerana Allah tidak menerima amalan sunnah sebelum memenuhi amalan fardhu.

3) 3) Menganjurkan Solat Jamaah.

4) 4) Menganjurkan pelaksanaan sunnah khususnya berpuasa dan solat malam.

Realisasikan pembentukan “Daulah Islamiah” dengan pembentukan peribadi-peribadi muslim dan pembentukan keluarga-keluarga muslim dan setelah itu akan terbentuklah masyarakat Islam dan tertegaklah negara Islam.


Monday, August 31, 2009

Isu Perjuangan Kemerdekaan Belum Lagi Selesai



Erti merdeka pada Islam adalah kejayaan membebaskan aqidah (pegangan) dari mengabdikan diri kepada makhluk kepada pengabdian diri kepada Allah SWT.

Perjuangan itulah yang dipikul oleh Nabi Muhammad SAW sepanjang hayat baginda. Dan sesiapa yang berjaya membebaskan diri mereka dari perkara tersebut, dialah yang sebenarnya merdeka.

Islam menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh Jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga dan bangsa Nabi SAW sendiri, sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dalam keadaan negara sekarang, warisan jahiliah dilihat terus menyubur dalam diri masyarakat dalam negara ini. Tidak kira dalam aspek pentadbiran, kehidupan sosial harian, ekonomi mahupun politik, budaya jahiliah katanya seolah olah tidak ditelan zaman cuma bezanya ia dipraktik secara moden.

Sehubungan itu, perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai. Kita harus menyambung perjuangan memerdekakan masyarakat seperti yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Walaupun negara kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun dahulu, tetapi warisan penjajah masih lagi wujud, bertapak dan berakar umbi di dalam masyarakat kita. Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai."

Kita harus terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya ataupun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT."

PETIKAN UCAPAN TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG SEMPENA SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-52


Baca Al-Quran + Amal = Hidayah

Sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu berdemonstrasi mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka. "Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka. Mereka membantah keputusan kerajaan negeri untuk memindahkan pembinaan Kuil Sri Maha Mariaman kira-kira 300 meter dari tapak cadangan asal pembinaannnya kerana ia berdekatan dengan surau. Berikutan tapak itu dianjakkan agak jauh, kerajaan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina jalan raya di situ bagi memudahkan penganut Hindu ke kuil tersebut. Sebelumnya, kuil di Seksyen 19 dipindahkan ke Seksyen 23 kerana kedudukannya terlalu rapat dengan kawasan kediaman. Kuil itu dibuat untuk keperluan penganut Hindu di Seksyen 19, 20 dan 23 Shah Alam.


Ana tak bercadang hendak mengulas peristiwa yang memalukan di atas tetapi ingin mengaitkannya dengan 1ayat di dalam 1surah dari al-Quran yang mulia iaitu surah lembu betina. Ayat tersebut ialah ayat 185 surah al-Baqarah.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ...

Dalam bulan Ramadhan diturunkan al Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah...

Al-Quran yang kita baca selama ini diturunkan pada bulan ini dan kita dituntut untuk membacanya beserta dengan mengamalkannya segala isi kandungannya. Umat Islam amat menghargai hari turunnya al-Quran ini sehingga diberi cuti oleh kerajaan sempena nuzul al-Quran. Namun begitu yang menghairankan kita ialah orang yang tidak membaca al-Quran dan yang menolak hukum serta kandungan al-Quran juga turut sama bercuti.

Al-Quran menjadi panduan dan petunjuk kepada manusia. Orang yang membaca al-Quran sahaja tidak dapat dijamin lagi bahawa mereka akan mendapat hidayah. Hal ini kerana mereka hanya membaca al-Quran sahaja tanpa meneliti dan mengamalkan isi kandungannya. Apabila mereka membaca, meneliti dan mengamalkan kandungan al-Quran yang dibaca maka barulah mereka mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah s.w.t.

Sebab itu kita tidak hairan pada hari ini terdapat anak-anak guru-guru tajwid yang tidak bertudung dan menutup aurat dengan sempurna malah membiarkan anak isteri mereka melakukan maksiat kepada Allah disebabkan mereka hanya menekankan kepada cara bacaan sahaja dan meninggalkan suruhan dan perintah yang terkandung dari apa yang mereka baca.

Mudah-mudahan pada bulan yang diberkati ini kita memperbanyakkan bacaan al-Quran dan berdoa agar kita tergolong dari kalangan mereka yang membaca dan mengamalkan segala perintah Allah serta meninggalkan segala larangan Allah yang terdapat di dalam al-Quran.

Saturday, August 29, 2009

Penawar Yang Tidak Popular


ِ


ِAllah s.w.t berfirman :

Dari perut lebah itu keluarlah minuman madu yang bermacam-macam warnanya sebagai penawar (ubat) bagi manusia.

Surah an-Nahl 69

Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Tetaplah kamu berubat dengan al-Habbatus Sawda’. Ini kerana sesungguhnya ia mengandungi bahan penyembuh bagi setiap penyakit kecuali mati. (H.R Bukhari)


S
ebagai orang yang beriman, kita wajib yakin dan mengimani bahawa setiap perkara yang disebut di dalam al-Quran dan hadis adalah benar dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Penggunaan madu dan habbatus sawda' (blackseed) dalam perubatan telah lama diamalkan oleh ulama-ulama silam cumanya promosi ataupun pengiklanan kepada ubat-ubatan serta pil-pil yang lain seperti panadol, minyak cap kapak, dan lain-lain lebih hebat daripada promosi perubatan berasaskan madu & habbatus sawda ini menyebabkan perubatan dari al-Quran menjadi terkebelakang dan menjadi tidak popular.

Oleh itu peranan kitalah umat Islam mempromosikan penyembuh dari al-Quran dan hadis ini kepada seluruh masyarakat dunia dalam usaha mengagungkan dan menyerlahkan lagi mukjizat al-Quran. Sempena bulan Ramadhan yang berkat ini marilah kita sama-sama mempromosi & mengamalkan pemakanan madu dan habbatus sawda' untuk mengekalkan kesihatan dan seterusnya dapat mengerjakan ibadah dengan semaksima yang mungkin. Salam Ramadhan Untuk Semua

Sunday, July 12, 2009

PEMIMPIN & PENGURUSAN DIRI

Apabila membicarakan mengenai kepimpinan, maka kita tidak dapat lari dari maksud hadis Rasulullah s.a.w iaitu :

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap dari kamu akan ditanya mengenai orang-orang yang dipimpinnya.



Ada sesetengah orang beranggapan bahawa pemimpin hanyalah perdana menteri, menteri besar, guru besar, penghulu dan sebagainya. Tetapi apabila kita membaca dan memahami hadis ini maka jelas menunjukkan bahawa setiap orang di dunia ini adalah pemimpin. Oleh itu semua harus sedar bahawa mereka adalah seorang pemimpin.


Sebelum memimpin orang lain, seorang pemimpin harus memimpin diri sendiri terlebih dahulu.

Ada 3 elemen penting yang perlu diperhatikan oleh seorang pemimpin iaitu :


1) 1.Self Awareness

2) 2.Self Management

3) 3. Self Motivation


1) SELF AWARENESS

a) Kesedaran diri yang harus ada kepada seorang pemimpin iaitu sedar mereka adalah merupakan seorang hamba Allah. Seharusnya segala gerak kerjanya haruslahmerupakan manifestasi kepada kehambaannya kepada Allah, bukan hamba kepada nafsu, syaitan dan sebagainya.


“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan

untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Az-zariat : 56”


b) Kesedaran yang seterusnya ialah menyedari tugasnya sebagai khalifah di muka bumi ini. Khalifah haruslah memakmurkan dunia bukan merosakkanya. Khalifah tugasnya mendirikan agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama secara keseluruhan.


Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (Hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab Yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.


2) Self Management


a) - > Pengurusan diri yang baik harus diamalkan dan usaha ini bermula dengan niat yang baik dipermulaan hari.

b) -> Mempunyai jadual harian dan melatih disiplin diri


3) Self Motivation

Pemimpin harus sentiasa mempunyai motivasi diri yang tinggi. Sunnah Rasulullah melazimkan membaca doa-doa setiap kali melakukan sesuatu perkara. Doa yang boleh diamalkan pemimpin ialah :


اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُْوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْلِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ غَلَبَتْ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ.




 
Fikrah Seorang Mursyid. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.